Suami sakit kronik, isteri positif Covid-19 ditemui mati di rumah

0
2

KERISAUAN seorang remaja yang gagal menghubungi ibu dan bapa angkatnya, akhirnya terjawab selepas pasangan itu ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di Taman Kota Masai , Pasir Gudang, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata mayat pasangan itu ditemui di ruang tamu rumah berkenaan oleh anak angkat lelaki mereka berusia 19 tahun, yang datang melawat setelah panggilan telefon tidak berjawab.

Beliau berkata, wanita berusia 61 tahun itu disahkan positif Covid-19, manakala suaminya yang berusia 68 tahun pula dipercayai mengalami beberapa komplikasi kesihatan.

“Pasangan itu tidak mempunyai anak kandung dan mayat mereka ditemui oleh anak angkat yang berusia 19 tahun selepas pergi ke rumah berkenaan untuk melawat ibu bapa angkatnya kerana panggilan telefon mereka tidak berjawab,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua mayat mereka itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua pasangan tersebut dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam.

“Si suami dipercayai mempunyai penyakit kronik termasuk sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis, kematiannya berpunca daripada sejarah penyakit yang dihidapinya itu.

“Isterinya pula mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, turut disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan selepas kematiannya.

“Siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah menyebabkan kematian pasangan itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara memetik laporan Harian Metro, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Esah, 40-an memaklumkan dia diberitahu oleh anak angkat pasangan itu bahawa suami isteri terbabit sudah meninggal dunia.

“Anak angkat jiran saya nangis teresak-esak menyatakan kedua-dua ibu bapa angkatnya sudah tiada.

“Kali terakhir saya dia bertemu dengan pasangan itu pada minggu lalu dan beberapa hari lalu ada terserempak dengan anak angkatnya itu dan menyapanya serta bertanya khabar ibu bapa angkatnya.

“Mereka pernah beritahu ada sakit kencing manis dan darah tinggi dan hanya jiran perempuan yang sering keluar rumah untuk membeli barang dapur, manakala suaminya hanya di rumah.

“Wanita berkenaan dikenali sebagai Mak Besah memang dikenali ramai kerana pandai berubat dan suaminya dikenali sebagai Pak Bakar.

“Namun sejak minggu lalu memang tidak kelihatan mereka keluar dan saya menjangkakan pasangan itu tidak mahu keluar rumah kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here