PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah rasional kerajaan untuk tidak meningkatkan kadar ujian Covid-19 ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini.
Soalnya lagi, adakah kerajaan selain itu hanya mahu menutup kelemahan untuk membendung wabak tersebut dan cuma menunggu fasa vaksinasi besar-besaran yang akan bermula pada Julai atau Ogos ini.
“Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan untuk menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.
“Dengan pengujian besar-besaran kita akan mendapat gambaran sebenar mengenai penularan wabak Covid-19, ambil langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau telah menggesa sejak tahun lalu untuk meningkatkan keupayaan pengujian dan membangkitkannya kembali dalam minggu kebelakangan ini, namun tidak ada respon dan tindakan pantas dari pihak berwajib.
“Ini secara tidak langsung menggambarkan langkah darurat hanya untuk menutup kelemahan kerajaan serta untuk mereka mengelak dari kebertanggungjawaban,” katanya.
Sebaliknya, beliau mendakwa, kerajaan ini terus berselirat dengan masalah untuk melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mengelirukan dan menyusahkan orang ramai.
“Sudah 15 bulan kita berdepan dengan ancaman wabak, tapi kerajaan masih menggunakan taktik dan strategi lapuk yang ternyata telah gagal.
“Sentimen umum mengenai kerajaan gagal adalah kesan langsung dari perencanaan yang tidak bijak dan mengelirukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau telah mengajukan persoalan kepada kerajaan mengenai rasional menurunkan kadar pengujian semasa PKP itu, di mana orang ramai tahu kes sporadik dan kematian sedang meningkat, manakala variasi terus merebak dan membimbangkan.
“Saat PKP ini mesti dimanfaatkan untuk membendung penularan wabak ini secara proaktif,” katanya.
Beliau berkata, pakar perubatan juga turut mempersoalkan mengenai rendahnya kadar pengujian di Malaysia dan mereka juga percaya laporan kes harian tidak menggambarkan jumlah kes jangkitan sebenar.
“Logik mengatakan sekiranya kadar positif kes Covid-19 berada pada kadar 7 peratus atau lebih, ia bermakna mengurangkan kadar pengujian akan memberikan gambaran yang salah mengenai kes jangkitan Covid-19.
“Kesannya lebih ramai dijangkiti Covid-19 tidak akan dikuarantin, lebih ramai akan menjangkiti yang lain dan dalam beberapa minggu mendatang kita akan dibebankan dengan gelombang kes menggila tinggi dan juga kadar kematian tinggi.
“Justeru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan 10 hingg 30 pengujian untuk setiap satu kes yang telah disahkan. Berdasarkan syor ini, kita harus lipatgandakan kadar pengujiannya,” ujarnya-Malaysiapost
done

