Tukang mandi jenazah pesakit Covid-19 meninggal dunia

0
2

“DAHULU beliau menguruskan jenazah pesakit Covid-19, semalam jenazah beliau pula dimandikan oleh petugas. Besar jasa beliau kepada umat Islam di Labuan,” tulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi hantaran Facebooknya hari ini, Zulkifli menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga seorang kakitangan yang berkhidmat di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Datu Sadam yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, semalam.

Zulkifli berkata, belaiu menerima berita sedih itu melalui aplikasi Whatsapp jam jam 12 tengah malam tadi yang menyatakan Allahyarham meninggalkan dunia lebih kurang jam 8 malam disebabkan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut berkongsikan kenangan bersama Allahyarham Datu.

“Beliau adalah antara staf Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan yang saya kasihi.

“Masih segar di ingatan saya ketika beliau mula-mula melapor diri sekitar 3 hingga 4 tahun lalu. ‘Nama saya Datu Sadam!’, ujarnya sambil tersenyum.

“Dek keunikan namanya, tubuh yang sedikit gempal dan sifat ramahnya, saya senang mengingati beliau,” katanya.

Zulkifli berkata, setiap kali beliau mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan, Datu adalah antara individu terawal yang akan menyambutnya di Lapangan Terbang Labuan.

“Selesai tugas di siang hari, biasanya kami akan ke Anjung Ketam atau ke RPP Labuan untuk menikmati makanan laut.

“Beliaulah yang biasanya berkhidmat membakar ikan, ketam, udang bersama sahabat-sahabat lain,” kongsinya lagi.

Zulkifli berkata, Datu pergi dalam usia yang muda iaitu 30 tahun, namun beliau berbangga dengan Allahyarham kerana sebelum didapati positif Covid-19, beliau terlibat sebagai Pasukan Pengurusan Jenazah JAKIM dan JAWI bagi menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

“Saya doakan semoga Allahyarham Datu Sadam Turan dikurniakan syahid dan ibu bapa serta keluarganya dikurniakan ketabahan dan kesabaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here