Didakwa langgar SOP, MB Kedah beri keterangan hari ini

0
1

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) di Autocity Juru, Pulau Pinang, petang ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh berhubung perkara itu dan bersedia berdepan apa saja kemungkinan selepas disiasat.

Beliau ketika menceritakan kejadian yang berlaku petang kelmarin berkata, ketika itu beliau bersama pemandu dan pengiringnya yang merupakan seorang anggota polis dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dan mengadakan pertemuan bersama pelabur di ibu kota, semalam.

“Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kedai serbaneka di Autocity bagi membeli makanan antaranya roti dan minuman. Sementara menunggu pemandu membeli barangan itu, saya menyapa seorang penjual yang sedang menyusun kenderaan di situ.

“Penjual itu yang bernama ‘Ong’ cukup ramah walaupun mulanya dia tak perasan saya Menteri Besar. Kami bersembang mengenai kenderaan dijualnya sebelum saya meminta untuk melihat ruang dalaman dan duduk di kerusi penumpang depan,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Al-Farabi, Kompleks Pendidikan Negeri di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pengawal pengiringnya turut duduk di bahagian belakang kenderaan tersebut dan itu sememangnya sebahagian daripada prosedur biasa keselamatan yang sering berlaku.

“Saya tidak membuat pandu uji langsung sebaliknya penjual itu saja yang memandu kenderaan tersebut.

“Selepas itu, kami melihat pula varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi kali ini saya tidak masuk ke dalam kenderaan. Cumanya apabila pintu kenderaan kedua dibuka, saya ternampak seseorang merakam gambar kami,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, beliau serahkan kepada pihak polis untuk menilai dan bersedia berdepan segala kemungkinan.

Dalam pada itu, beliau turut memaafkan wanita yang menularkan isu itu.

“Cumanya dia mungkin boleh bertanya secara baik mengenai apa yang berlaku pada waktu itu, dan saya pun boleh jawab elok-elok,” ujarnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/21/langgar-sop-exco-selangor-mohon-maaf/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here