LANGKAH kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ dan penguatkuasaan yang lebih ketat adalah keputusan tepat yang sekali gus dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau bersyukur apabila kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt Covid-19 hari ini turun ke 0.99 dan jangkitan baharu juga turun kepada kepada 5,271 kes.
“Saya juga tertarik dengan data “SEIR Model” bilangan kes sebenar berbanding bilangan kes jangkaan jika tiada pematuhan kepada SOP, seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Nor Hisham kelmarin.
“Jika kita teliti data tersebut, kita akan melihat bahawa tanpa pematuhan SOP, maka Malaysia akan menghadapi bilangan kes yang lebih tinggi.
“Tetapi dengan langkah ‘lockdown’ dan juga penguatkuasaan yang lebih ketat, maka lekuk Covid-19 telah mula dapat kita landaikan dalam masa beberapa hari sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, data terkini menunjukkan bahawa keputusan kerajaan untuk melaksanakan “lockdown” yang ketat adalah tepat dan telah mula menunjukkan hasil yang diinginkan.
Justeru, katanya, ia sekali gus menafikan segala tuduhan yang dilemparkan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan yang terperinci.
“Realitinya, kita telah mula melihat hasil positif daripada tindakan kerajaan.
“Walaupun ada pihak yang tak habis-habis merungut untuk meraih kepentingan politik peribadi, data menunjukkan bahawa kita berada di jalan yang betul dan kita boleh berjaya jika kita terus mematuhi segala nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Biarlah “kluster merungut” terus merungut kerana mereka memang mahu mencari perhatian untuk diri mereka. Buat apa sekalipun, kluster merungut ini akan sentiasa mencari jalan untuk merungut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai tidak kira rakyat biasa mahupun mereka yang berpangkat untuk bersungguh-sungguh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Yang penting ‘kita jaga kita’ dan jaga saudara mara serta jiran-jiran kita supaya kita semua akan menyumbang dalam perang melawan Covid-19 ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha sehabis baik dalam mengeluarkan SOP dan menguatkuasakannya.
“Mari kita sokong usaha kerajaan demi kesihatan kita dan keluarga kita sendiri,” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jumlah kes baharu Covid-19 menurun apabila 5,271 kes dilaporkan hari ini berbanding 6,241 semalam.
Angka itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kini adalah sebanyak 622,086 sejak wabak berkenaan melanda negara. – Malaysiapost

