Total lockdown: Bersih lancar semula ‘MakanKongsi 2.0’

0
2

GABUNGAN Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan semula “kempen MakanKongsi” untuk memberi makan kepada mereka memerlukan sepanjang tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 1 Jun lalu.

Inisiatif terbaru dinamakan ‘Makan Kongsi 2.0’ akan dipimpin oleh sebuah syarikat sosial dan kumpulan hak asasi manusia, The Good Kitchen Engage. Sementara, Bersih 2.0 akan bertindak sebagai rakan kongsi untuk memastikan ketelusan dalam pengendalian dana.

Kedua-dua pihak itu dalam kenyataan bersama, berkata dana yang diperoleh akan digunakan untuk memberi geran kecil kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu komuniti sasaran.

“Ia bagi memastikan NGO ini dapat memberi fokus kepada penyediaan keperluan asas daripada risau untuk mengumpul sumbangan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga ingin mengumpulkan sebanyak RM500,000 bermula dari sekarang hingga akhir Julai ini untuk menyediakan keperluan asas.

“Ia untuk membantu sekurang-kurangnya 30,000 individu dari kelompok seperti miskin bandar dan luar bandar, nelayan, Orang Asli, pekerja migran dan pelarian yang berada di seluruh negara ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, komuniti miskin adalah yang paling teruk terkesan sehingga ada yang tidak cukup makan.

“Ramai yang tidak dapat mencari nafkah semasa PKP penuh dan terpaksa bergantung pada bantuan untuk meneruskan hidup,” katanya.

Kempen berkenaan adalah pelancaran semula seperti mana pernah dilaksanakan pihak berkenaan ketika PKP 1.0 tahun lalu.

Dalam kempen pertama itu, mereka berjaya mengumpul RM565,000 bagi membantu kira-kira 51 NGO dan juga aktiviti komuniti untuk membekalkan makanan dan keperluan asas kepada masyarakat yang memerlukannya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here