i-Guru mohon calon SPM, guru terlibat diberi vaksin

0
3

IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) memohon membenarkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan guru yang terlibat dengan peperiksaan itu supaya diberikan suntikan vaksin agar boleh hadir ke sekolah semula untuk sesi pembelajaran bersemuka.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata tabung dana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diwujudkan bagi kegunaan guru dan pelajar untuk tujuan pembelian peralatan teknologi, alat peranti dan data internet.

“Sumbangan warga guru minima RM10 sebulan melalui potongan gaji dapat menyelamatkan pelajar dari keciciran pendidikan dan membantu warga guru dengan bantuan data internet.

“Tabung ini adalah inisiatif tambahan sebagai membantu usaha pihak kerajaan untuk mengagihkan 150,000 peranti kepada murid dari keluarga B40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azizee berkata, kerajaan juga boleh meningkatkan kualiti program Didik TV dari sudut penyiaran dan isi kandungan agar lebih interaktif dan efektif.

Beliau berkata, kerajaan boleh memanfaatkan kepakaran guru sedia ada melalui pengalaman PdPR 1.0 dan 2.0 untuk dikongsi bersama warga guru demi meningkatkan kompetensi golongan itu.

Sementara itu, katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar memberikan insentif khas kepada warga guru atas usaha keras mereka untuk tujuan tersebut.

“Pelatihan intensif dan berterusan kepada warga guru berkaitan cybergogy, peeragogy dan heutagogy untuk berdepan pendidikan milinium dan cabaran IR 4.0.

“Diharap langkah proaktif dan kreatif pihak KPM akan membantu warga guru dan murid-murid demi kelangsungan masa depan Pendidikan,” ujarnya lagi.

SESI persekolahan selepas tamat cuti pertengahan tahun akan dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tempoh 25 hari persekolahan.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata, mengambil kira situasi semasa KPM membuat ketetapan bahawa untuk tempoh 25 hari persekolahan selepas ini akan laksanakan PdPR.

Menurutnya, pada waktu ini sekolah sedang dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here