JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyeru anak buahnya melupakan seketika ‘aktiviti media sosial’ bagi memberi fokus sepenuhnya pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Vietnam dan Thailand.
Tegasnya, sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada segala komen negatif namun apa yang penting sebagai pemain mereka perlu bijak melihatnya sebagai motivasi dan sentiasa positif untuk maju ke hadapan.
“Memang saya ada nasihatkan pemain agar meletakkan seketika media sosial ditepi dan fokus perlawanan akan datang kerana mungkin kata-kata negatif akan menyebabkan semangat mereka terjejas,” katanya dipetik Cakap Sukan, hari ini.
Harimau Malaya mengalami kekalahan 4-0 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peminat bola sepak negara terutama corak dipamerkan beberapa pemain.
Antara dikritik hebat, pemain naturalisasi, Guilherme De Paula sehingga ada warganet mencadangkan kerakyatan diberikan kepadanya dilucutkan.
Mengulas mengenainya, Cheng Hoe berkata, tidak wajar meletakkan kesalahan kepada seorang pemain sahaja kerana bola sepak adalah permainan berpasukan dan setiap individu perlu memainkan peranan untuk menang.-Malaysiapost

