MB singgah beli makanan, sambil-sambil lihat kereta – Setiausaha Politik

0
2

TIADA ‘test drive’, itu kenyataan penafian Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Ia susulan dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memandu uji sebuah pacuan empat roda.

Menurut Afnan Hamimi, perkara itu adalah fitnah terbaru untuk menyerang Muhammad Sanusi sedangkan beliau hanya berhenti sebentar untuk membeli makanan berdekatan pusat jualan dan pameran Jenama Ford di kawasan itu sebelum ke Kuala Lumpur atas urusan penting.

Beliau berkata, ketika perjalanan itu Menteri Besar bersama seorang pemandu dan tiga anggota polis pengiring dan mengesahkan pusat pameran itu ditutup disebabkan pelaksanaan PKP 3.0.

“Ada seorang penjual kereta sedang menyusun Ford Ranger di luar pusat pameran itu. Menteri Besar hanya pergi melihat kereta itu bukan nak beli kerana hanya berminat. Kalau tengok hendap-hendap nanti orang pelik pula.

”Walaupun pusat pameran ditutup, penjual itu bersopan, layan orang yang datang sambil mengalih kereta-kereta. Dia tahu waktu ini tak boleh berniaga. SOP PKP. Orang berniaga, macam itulah.

“Lepas siap beli makanan, Menteri Besar sambung perjalanan ke Kuala Lumpur. Ford Ranger itu ada dekat Juru. Tak ikut sekali dan saya mengesahkan tiada ‘test drive’ berlaku,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Afnan Hamimi yang juga Naib Ketua Pemuda PAS berkata pergerakan Muhammad Sanusi yang merentas daerah atau negeri dibenarkan dalam SOP PKP yang ditetapkan.

“Ini kerana perjalanan Menteri Besar termasuk di dalam perkhidmatan perlu (essential service) yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ,” katanya.

Semalam, satu hantaran dimuat naik pemilik Facebook, Nini Sirom, menunjukkan Sanusi bersama individu dipercayai pekerja Juru Autocity didakwa melakukan pandu uji sebuah pacuan empat roda jenis Ford.

Mengikut hantaran itu, pengguna akaun Facebook tersebut menegur tindakan terbabit kerana memandu uji kenderaan ketika sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ melanggar SOP ditetapkan.

Bagaimanapun, polis hari ini dilaporkan akan memanggil Menteri Besar Kedah itu dalam masa terdekat ini untuk siasatan lanjut.

“Kita akan panggil beliau serta pemilik pusat pameran berkenaan untuk siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here