
PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon 2021 akan diadakan pada Februari 2022 selepas mengambil kira keadaan semasa dan cabaran dihadapi calon SPM.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ramai bertanya mengenai peperiksaan SPM bagi calon 2021 dan untuk makluman tarikh atau tempoh peperiksaan SPM 2021 adalah bermula tahun depan.
“Ujian Lisan dan Amali Sains akan diadakan dalam Februari 2022, manakala Peperiksaan Bertulis akan bermula pada Mac 2022.
“Kementerian Pendidikan (KPM) membuat ketetapan ini dengan mengambil kira keadaan semasa dan cabaran yang perlu dilalui oleh calon-calon SPM 2021,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, pengalaman dalam menguruskan SPM 2020 membolehkan KPM menganjakkan tempoh atau tarikh SPM 2021 ke tahun 2022.
“Maka dalam konteks ini ia akan dilaksanakan pada Mac 2022 dan kita yakin segala proses berkaitan dengan SPM 2021 ini akan dapat berjalan lancar sepertimana kita berjaya melaksanakan SPM 2020,” katanya. – Malaysiapost
