12,000 permohonan rentas daerah, negeri setiap hari

0
3

POLIS meluluskan kira-kira 12,000 permohonan rentas daerah dan negeri setiap hari sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kebanyakan permohonan rentas daerah dan negeri yang diluluskan membabitkan permohonan melibatkan kematian, kecemasan dan pemohon yang bekerja sendiri.

Menurutnya, kadar aliran kenderaan di jalan raya dan lebuh raya utama di seluruh negara juga menurun kepada sekitar 500,000 kenderaan sehari berbanding sebelum pelaksanaan PKP penuh Selasa lalu iaitu kira-kira 1.3 juta kenderaan.

“Polis juga sudah menutup 118 jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam bagi memastikan tidak ramai individu dapat melanggar larangan rentas negeri dan daerah,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Sementara itu, Hamzah memaklumkan sebanyak 85,000 pemeriksaan harian dilakukan polis dan agensi berkaitan sejak pelaksanaan PKP penuh.

Menurutnya, hampir 35,000 premis diperiksa termasuk pasar raya, restoran, kilang dan tempat yang dibenar beroperasi di seluruh negara.

Beliau menambah, sebanyak 3,514 kompaun dikeluarkan termasuk 117 dikenakan terhadap perbadanan atau syarikat dan 163 tangkapan dilakukan atas kesalahan pelanggaran SOP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here