KERAJAAN mengambil serius berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai ‘essential services’ beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan sentiasa memandang serius isu pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebagainya.
“Saya baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat strategi pematuhan SOP Covid-19 hari ini bagi memastikan tindakan agensi penguatkuasaan dan pematuhan dalam kalangan pemilik premis perniagaan dan sektor perkilangan.
“Task Force Operasi Pematuhan ini akan memfokuskan kepada pematuhan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, sehingga 1 Jun lalu beberapa kementerian telah mengambil tindakan ke atas kilang dan premis perniagaan yang melanggar perintah dan arahan PKP seperti beroperasi lebih waktu, beroperasi dengan lebih 60 peratus pekerja dan juga beroperasi walaupun telah diarahkan
tutup.
“Justeru, kerajaan telah membuka talian hotline bagi membolehkan orang ramai membuat aduan melalui Malaysian Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-80008000, [email protected] atau emel ke aduan.pematuhan.mkn.gov.my ,” katanya. – Malaysiapost

