Kes varian Afrika Selatan di Melaka dijangkiti dari pusat hiburan

0
2

KERAJAAN Melaka mengesahkan kes pertama varian Afrika Selatan atau varian Beta (B.1.351) di negeri itu dijangkiti seorang individu daripada sebuah pusat hiburan di Melaka Raya.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana setakat ini hanya individu itu dari Kluster Jalan Pokok Mangga dikesan mendapat jangkitan varian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, individu berkenaan telah pulih dan situasi kluster kini terkawal, lapor Sinar Harian, hari ini.

“Kita akan terus memantau kluster ini selain lebih 60 kluster lain di negeri ini,” katanya.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus melakukan pemantauan berhubung perkembangan varian berkenaan bagi memastikan ia tidak merebak dalam komuniti.

Beliau menjelaskan, kluster Jalan Pokok Mangga dikesan pada 22 April lalu hasil saringan individu bergejala dan kes indeks dikesan positif Covid-19 selepas berjumpa dengan kes positif dari Kuala Lumpur.

Katanya, jangkitan kemudian menular dalam kalangan kontak rapat sosial dan kontak tempat kerja membabitkan dua pusat hiburan di negeri itu.

“Seramai 30 individu positif Covid-19 daripada kluster itu yang dijangka tamat pada 7 Jun kerana tiada lagi kes baharu direkodkan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Melaka Hari Ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here