JABATAN Kesihatan Perak mengesan dua kes ketidakpatuhan dalam proses pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan bukan dalam kategori penerima Fasa 2 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Teluk Intan, semalam.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata kes pertama ialah menerima masuk warga tempatan yang memohon mendapatkan vaksin awal kerana telah dipanggil balik untuk menyambung pengajian di universiti luar negara tanpa mendapat tarikh temujanji melalui MySejahtera seperti penerima yang lain.
Bagi kes kedua, katanya, memberi vaksin kepada seorang bukan warganegara di mana didapati pihak pengurusan operasi gagal membuat tapisan teliti tentang justifikasi pemohon untuk mendapatkan vaksin awal.
“Pihak pengurusan PPV Daerah Hilir Perak komited dalam memastikan hanya golongan yang layak menerima vaksin dalam Fasa 2 diberikan keutamaan menerimanya.
“Pihak pengurusan PPV telah meningkatkan proses semakan dan penentuan kelayakan menerima vaksin berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
“Pihak pengurusan juga telah menyediakan kaunter bagi mereka yang terlepas temujanji untuk mendapatkan tarikh baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Lay Ming berkata Jabatan Kesihatan Negeri kesal atas kejadian yang berlaku dan akan terus menjalankan pemantauan rapi serta penyeliaan di semua PPV Awam.
Ini katanya bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan mengikut tatacara dan kriteria ditetapkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 Kebangsaan.
Beliau menjelaskan, dua kes berkenaan dikesan susulan satu hantaran yang tular di Twitter berkenaan isu pemberian vaksin kepada golongan bukan dalam kategori Fasa 2 di PPV berkenaan.
PPV Dewan Bandaran Teluk Intan yang beroperasi sejak 3 Mei lalu melaksanakan purata pemberian vaksin kepada 500 hingga 600 orang sehari.
Sebelum ini, tular di Twitter ciapan seorang pengguna laman sosial berkenaan mendakwa terdapat seorang doktor menyelit nama penerima vaksin yang tiada dalam senarai di sebuah PPV di Perak.
Dakwanya, ia bukan kali pertama berlaku dan sampai bila situasi tersebut akan berlanjutan selain turut mempersoalkan ketelusan doktor terbabit. – Malaysiapost

