KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu mengadakan sidang Parlimen secara bersemuka bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19 yang melanda negara berbanding persidangan hibrid.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata adalah penting bagi badan perundangan bersemuka membincang penyelesaian terbaik menangani Covid-19 yang dilihat semakin kritikal walaupun negara sudah melaksanakan darurat.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berpendapat persidangan Parlimen secara hibrid seolah-olah usaha ‘separuh masak’.
“Sidang Parlimen ditangguhkan pada Januari tahun ini selepas pengisytiharan darurat untuk menangani wabak itu. Namun, jumlah kes jangkitan masih meningkat sementara kadar vaksinasi masih rendah.
“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini menjadi lebih buruk dan sekarang masa untuk persidangan Parlimen konvensional. Ini adalah asas dan Perlembagaan untuk mengadakan mesyuarat parlimen.
“Ini (Covid-19) adalah masalah serius dan mesti ditangani dengan proaktif,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu menjelaskan, persidangan bersemuka itu hanya perlu dihadiri 220 Ahli Parlimen yang kebanyakannya sudah menerima vaksin dan pegawai tidak perlu hadir.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisma ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid, melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurut Takiyuddin, ia bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19 dan program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytihar darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung Covid-19. – Malaysiapost

