Kajian sidang Parlimen secara hibrid hanya wayang kerajaan – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengenai kerajaan sedang mengkaji mengadakan sidang Parlimen secara hibrid didakwa sebagai ‘wayang’ dan tidak bermakna kerana tempoh pelaksanaan darurat hampir tamat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kenyataan itu adalah satu wayang yang tak berapa bermakna bagi mengurangkan tekanan ke atas kerajaan untuk sambung Parlimen setelah darurat terbukti gagal melawan Covid-19.

Menjelaskan dakwaannya itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan perlu masa 14 hari untuk kajian melaksanakan sidang Parlimen secara hibrid.

“Katakanlah selepas kaji 14 hari, kerajaan bersetuju untuk bersambung Parlimen secara hibrid. Namun Perdana Menteri masih perlu beri notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum sidang Parlimen boleh dilaksanakan.

“Hari ini 5 Jun 2021 bermakna tinggal 57 hari lagi sehingga darurat berakhir,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, 57 hari ditolak 14 hari untuk kaji dan tolak lagi 28 hari untuk tempoh minima notis Perdana Menteri, maka cuma tinggal 15 hari sebelum darurat berakhir untuk Parlimen bersidang semula.

“Tak signifikan ke mana pun kecuali mereka berniat untuk sambung lagi darurat dengan alasan Covid-19 masih belum terkawal,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan sedang mengkaji mekanisma untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here