KKM laksana ujian klinikal vaksin Covid-19 oleh pengilang Shenzen

0
2
dr noor hisham

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan terdapat tambahan satu kajian klinikal melibatkan vaksin Covid-19 diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 28 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian klinikal itu melibatkan produk SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated, 5μg/0.5mL yang dikilangkan oleh pengilang Shenzhen Kangtai Biological Products Co Ltd di China.

“Kajian Klinikal Fasa 3 ini akan dijalankan di lapan pusat penyelidikan di Malaysia dengan sasaran peserta sebanyak 3,000 orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas serta dijangka mengambil masa 15 hingga 19 bulan.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terlibat dalam kajian klinikal ini selain Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

“Vaksin ini juga telah diluluskan oleh negara China melalui Emergency Use Approval pada 14 Mei lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kajian klinikal vaksin Covid-19 yang dijalankan di Malaysia dapat memberikan maklumat klinikal berkaitan keberkesanan dan keselamatan vaksin, serta maklumat berkenaan kesesuaian vaksin kepada rakyat Malaysia.

“Ini merupakan kelebihan yang diperlukan kerajaan untuk memacu ke arah capaian sasaran imuniti kelompok (herd immunity) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here