TLDM tahan bot nelayan Vietnam

0
2

BOT pemintas baharu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TDM) berjaya mengusir sekumpulan bot nelayan asing dan menahan satu bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan mengaut khazanah negara secara haram di utara perairan Pulau Tioman, Pahang melalui Op Benteng awal pagi tadi.  
Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, seramai 19 awak-awak ditahan bersama bot nelayan asing berkenaan. 
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut, dalam kenyataan memaklumkan susulan maklumat daripada pengesanan radar KD Lekiu, dua bot pemintas Fast Combat Boat (FCB) TLDM yang baharu iaitu FCB 1021 dan FCB 1022 bergegas ke lokasi dengan kelajuan melebihi 45 knot.  
“Setiba di lokasi, radar FCB mengesan sekumpulan besar bot nelayan asing, dipercayai bot nelayan Vietnam sedang mengaut khazanah negara secara haram.  
“Sebaik menyedari kehadiran FCB, kesemua bot nelayan asing tersebut menghentikan aktiviti mereka dan bergegas melarikan diri ke perairan antarabangsa.  
“Namun, dengan keupayaan manuvra serta kemahiran pengendalian kru FCB, sebuah BNV dengan 19 awak-awak telah ditahan dan seterusnya diiringi untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Rompin untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.  
Menurutnya, kedua-dua FCB yang baharu selesai menjalani latihan penyesuaian itu dioperasikan oleh seorang pegawai serta enam kru dan kini berada di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) berpangkalan di Tanjung Gelang, Pahang.  
“Keupayaan FCB TLDM untuk diaturgerakkan dan bertindak dalam tempoh yang singkat diyakini berupaya memberi mesej cegah rintang yang jelas terhadap sebarang cubaan jenayah rentas sempadan.  
“Bagaimanapun, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang erat di antara TLDM dengan kesemua agensi yang terlibat, baik dari aspek pembinaan FCB ini mahupun perkongsian maklumat serta pelaksanaan operasi,” katanya.  
Menurutnya, TLDM akan kekal komited bersama semua pasukan serta agensi terbabit bagi memastikan perairan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here