Enam tahun gempa bumi berlalu, Gunung Kinabalu masih terluka

0
2

JAM 7.15 pagi, 5 Jun 2015. Gunung Kinabalu yang tenang dan nyaman, bergegar susulan gempa bumi 5.9 magnitud berpusat di Ranau.

Gempa bumi itu dicatat sebagai paling kuat pernah berlaku di Malaysia dalam tempoh 39 tahun sejak 1976, sekali gus mengatasi rekod gempa terkuat berukuran 5.8 skala Richter di Lahad Datu pada 1976.

Insiden tidak disangka-sangka itu berlaku beberapa hari selepas pelancong warga asing berbogel dan berkelakuan lucak di puncak Gunung Kinabalu yang menimbulkan kemarahan masyarakat setempat.

Seramai 173 pendaki serta malim gunung terkandas di puncak gunung

Gempa bumi itu meragut 18 nyawa pendaki melibatkan enam warga Malaysia termasuk empat malim Gunung Kinabalu, 10 warga Singapura dan masing-masing satu mangsa dari China serta Jepun.

Mangsa dari Singapura melibatkan dua guru dan tujuh pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong yang melakukan lawatan sambil belajar ke Gunung Kinabalu serta seorang jurupandu pengembaraan.

Antara mayat mangsa yang dibawa turun oleh pasukan penyelamat

Apa yang menyayat hati, mayat kebanyakan mangsa dihempap batuan besar yang runtuh serta jatuh dari puncak gunung sebaik berlaku gegaran kuat.

Seramai 173 pendaki serta malim gunung terkandas di puncak gunung sebelum mereka diselamatkan oleh pasukan penyelamat dalam operasi yang amat sukar, berikutan berlaku beberapa gegaran susulan.

Mohd Rizuan Kauhinin, malim Gunung Kinabalu yang menyelamatkan seorang kanak-kanak warga Singapura

Gempa bumi itu menyebabkan kerosakan kepada bangunan serta jalan raya di kawasan Ranau serta Kota Belud, selain gegaran dirasai sehingga ratusan kilometer.

Malah, puncak Donkey Ears Peak iaitu salah satu puncak tertinggi di Gunung Kinabalu turut patah dan mengubah lanskap puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

Gempa bumi menyebabkan puncak Donkey Ears Peak patah

Dalam tempoh setahun selepas gempa bumi itu, sebanyak 137 gempa susulan direkodkan di Ranau.

Hari ini genap enam tahun berlalu tragedi hitam dalam sejarah negara, sehingga kini kesan gegaran masih kelihatan di Gunung Kinabalu.

Mereka yang kehilangan ahli keluarga serta berdepan detik cemas ketika gegaran kuat tersebut, pasti tidak akan dapat melupakan tragedi berkenaan.

Selepas enam tahun, Akinabalu masih terluka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here