AKSB perlu lebih peka sepanjang ‘total lockdown’ – Wira Air

0
2

PERSATUAN Wira Air, Forum Air Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) lebih peka bagi memastikan bekalan air bersih yang disalurkan mencukupi agar tidak menjejaskan kehidupan pengguna terutamanya sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ketika ini.

Timbalan presidennya, Mohamed Hilmi Che Ramli berkata, pihaknya memandang serius laporan menerusi Utusan hari ini mengenai ‘Bekalan Air Turut Lockdown’ yang mengakibatkan kira-kira 50,000 penduduk di Kota Bharu dan Kuala Krai terjejas.

“Justeru, pihaknya meminta pihak operator terlibat memantau permasalahan yang dihadapi oleh sebegitu ramai pengguna dan menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera.

“Difahamkan, beberapa kawasan yang terlibat juga telah mengalami masalah bekalan air sejak dari awal tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wira Air merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Forum Air SPAN, bagi membantu dan memperkasakan SPAN dengan memberi maklum balas perkara melibatkan pengguna perkhidmatan air dan perkhidmatan pembentungan selain menjadi jambatan antara pengguna dan SPAN.

Sehubungan itu, Mhamed Hilmi berkata, pihaknya telah menghubungi wakil AKSB untuk mendapatkan maklumat sebenar berkaitan permasalahan tersebut serta tindakan-tindakan yang diambil.

“Pihak kami juga meminta AKSB menghantar bekalan air melalui lori tangki bagi kawasan-kawasan mendesak di kawasan yang dikenal pasti,” katanya.

Oleh hal demikian, pihaknya sekali lagi menyeru kepada semua operator bekalan air sentiasa peka terhadap peningkatan permintaan air sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.

“Pihak kami khuatir gangguan bekalan air akan menjejaskan rutin harian pengguna.

“Pihaknya juga memohon agar semua operator agar tidak mengamalkan polisi ‘tutup pintu’ terhadap aduan pengguna kerana sering kali terdapat aduan oleh pengguna yang mengatakan pihak operator tidak respon terhadap aduan mereka.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Pihak operator perlu mengambil tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan berusaha mewujudkan suasana yang harmoni di antara mereka dan pengguna sebagai pelanggan utama perkhidmatan mereka,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here