“Cari dulu maksud hadis dhaif, jangan buat-buat tahu” – pendakwah

0
3
Ahmad Husam Baderudin Presiden Penyatuan Ummah Malaysia

Nurul Huda Abhar

PENDAKWAH, Ahmad Husam Baderudin mempersoalkan tindakan seorang pemimpin mengecam laman Twitter milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang dikatakan menggunakan hadis dhaif dalam ciapannya, semalam.

Beliau juga bertanya kepada pemimpin itu adakah hadis dhaif tidak termasuk dalam kategori hadis, dan memintanya untuk mencari apa maksud hadis daif yang sebenarnya.

“Nasihat saya kepada adinda YB, bercakap dan sentuh isu yang kita tahu sahaja sudahlah jangan bercakap tentang isu yang kita tidak tahu.

“Seperti kata-kata : kalau tak tahu jangan buat pala tau (seperti tahu). Nanti orang tau kata kita tak tau. Kita tak tau kata orang tau kita tak tau. Salam Jumaat Barakah,” tulisnya di hantaran Facebook, hari ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai berhubung kait dengan ciapan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyelar ciapan Jakim yang dikatakan menggunakan hadis dhaif.

Menurut Syed Saddiq, Jakim tidak sepatutnya menggunakan agama sebagai alat propaganda kerana akan membazirkan wang rakyat.

Ciapan tersebut reaksi kepada tulisan Jakim yang menyatakan “Sultan (pemerintahan) merupakan bayangan Allah di bumi. Barang siapa yang memuliakannya dan barang siapa yang menghinanya makan Allah akan menghinanya.”

Sebagai maklumat tambahan, ulama bermazhab Syafie mentakrifkan hadis daif sebagai hadis yang tidak memenuhi syarat sahih, iaitu diriwayatkan oleh perawi adil yang memiliki ingatan kuat, sanad bersambung kepada Rasulullah SAW dan tidak mempunyai kekurangan serta tidak mencukupi tahap hasan yang berada di bawah sahih.

Ini bermakna kedudukan daif yang walaupun tidak mempunyai ciri yang melayakkannya berada pada darjat sahih atau hasan, ia masih dikategorikan dalam hadis.

Ini kerana sesuatu hadis berada dalam kategori daif disebabkan masalah teknikal pada sanadnya tetapi ada kalanya ia mempunyai lebih daripada satu jaluran sanad perawi sehingga menguatkannya, sekali gus mengangkatkannya kepada hasan li ghairih.

Secara umumnya hadis daif tidak ditolak secara sepenuhnya dalam perbincangan ilmu, sebaliknya jumhur ulama membolehkan dan mengharuskan penggunaannya dalam persoalan kelebihan sesuatu ibadat, dorongan janji baik dan peringatan janji buruk yang diberikan dalam agama asalkan tidak sampai ke tahap maudu’ atau rekaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here