BEKAS anggota kumpulan Inteam, Suhaimi Saad mengumumkan dirinya meletak jawatan sebagai penyanyi nasyid.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh penyanyi itu menerusi Instagram miliknya semalam.
Menerusi hantaran itu, Suhaimi turut meminta orang ramai tidak menggelarkan dirinya sebagai ustaz.
Katanya, sekiranya ada pihak atau individu yang masih memanggilnya dengan panggilan itu akan disekat dari Instagramnya.
“SS (Suhaimi Saad) letak jawatan sebagai penyanyi nasyid. Tak perlu panggil Ustaz. Panggil SS atau Mie je. Siapa degil, SS akan kompaun dan block,” tulisnya.
Pada masa sama, suami kepada Ina Naim itu juga memberikan peringatan kepada pengikutnya supaya tidak lagi memintanya untuk menyanyikan lagu-lagu Inteam ketika siaran langsung.
Malah, beliau memberi amaran kepada para “haters” supaya tidak lagi mengganggu hidupnya.
Katanya, sekiranya ada yang masih berdegil, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun atau menyekat mereka.
“Lepas ni sapa mintak lagu In-Team masa live, SS akan block. haters, aku tak selera dan takda masa nak layan korang,” katanya.
Suhaimi sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi apabila tetap dengan pendiriannya menolak vaksin Covid-19.
Terkini, beliau menegur pelakon Catriona Ross kerana lantang mengkritik kedegilan orang Kelantan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khususnya berhubung larangan rentas negeri. –Malaysiapost

