Azmin jawab kekeliruan berkaitan CIMS 3.0

0
2

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, menjelaskan kekeliruan berhubung surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang perlu dikemukakan semula melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Mohamed Azmin, berkata surat kebenaran beroperasi hanya akan dikeluarkan oleh CIMS 3.0 selepas kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi memberi pengesahan kepada MITI.

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) dalam satu kenyataan media pada 31 Mei 2021, memaklumkan surat kebenaran beroperasi bagi sektor perkhidmatan perlu dikeluarkan setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan.

“Seperti kenyataan media MITI bertarikh 31 Mei 2021, beberapa sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi telah diadakan bagi menyelaras dan melicinkan lagi proses pengesahan kementerian masing-masing ke atas syarikat yang dikawal selia kementerian-kementerian berkenaan untuk kebenaran beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sehingga kini, 15 kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.

“Setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan itu, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

“Namun, terdapat juga beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI. Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.

“Maka, surat kelulusan beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan Kementerian lain yang pada masa ini dan terbukti sistem diwujudkan berkesan untuk kumpulan sasaran mereka,” katanya.

Azmin juga menambah, Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan.

“MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor peniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin menjelaskan bahawa MITI juga ambil maklum tentang aduan beberapa pihak mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.

“Malah, MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0. 13.

“Kita harus jelas dan memiliki keyakinan untuk mendepani apa jua rintangan. Kita semua kini berada di medan perang untuk berhadapan dengan musuh yang tidak kelihatan,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here