1MDB : Kerajaan terima RM336 juta daripada Deloitte

0
3
Jalur gemilang dipasang di sekitar jalan menujuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

KERAJAAN telah menerima RM336 juta untuk penyelesaian berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Deloitte PLT yang didepositkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

Kementerian Kewangan berkata, sehingga kini, Akaun Amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara itu menerima dana berjumlah RM16.386 bilion yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

“Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

“Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima daripada Kumpulan Ambank dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

3 Mac lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, penyelesaian di luar mahkamah dengan Deloitte itu ialah penyelesaian terbesar berkaitan 1MDB oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

Penyelesaian Deloitte itu menyusul beberapa hari selepas Putrajaya mengumumkan penyelesaian berjumlah RM2.8 bilion dengan AMMB Holdings Bhd ke atas semua tuntutan tertunggak dan tindakan berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam skandal 1MDB.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, setakat ini, Putrajaya melunaskan RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC International Sdn Bhd.

“Setakat 31 Mei lalu, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/keuntungan/faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka, adalah RM39.66 bilion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC),” ujarnya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan itu berkata, baki semasa Akaun Amanah itu hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB bagi 2021 dan 2022 sahaja.

“Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB, memandangkan hutang tersebut disokong kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.”

Tengku Zafrul berkata, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan kini memfokuskan pihak yang menyebabkan kerugian kepada dua syarikat itu semasa menjalankan tanggungjawab mereka.

Tambah beliau, ia tidak kira penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC, serta mereka yang menerima wang SRC disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR).

“Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here