RAKYAT Malaysia memang berjiwa besar dan memiliki sifat mudah memaafkan.
Satu kajian terbaharu yang dilaksanakan oleh jenama gaya hidup terus ke pengguna (D2C), Signature Market, mendapati 44.3 peratus rakyat Malaysia hanya memerlukan masa satu hari untuk memaafkan seseorang yang telah melakukan kesalahan terhadap mereka.
Selain itu, sejumlah 32.2 peratus rakyat Malaysia hanya memerlukan satu jam untuk memaafkan orang lain.
Kajian yang dilakukan secara dalam talian di kalangan 4,562 responden dari seluruh Malaysia juga menunjukkan bahawa 10.4 peratus rakyat Malaysia hanya akan memaafkan si pelaku setelah menerima permohonan maaf dari mereka.
Manakala menurut Signature Market, 6.9 peratus memerlukan tempoh sekitar seminggu manakala, 6.2 peratus lagi memerlukan masa lebih dari seminggu untuk memaafkan sesuatu kesalahan.
“Sebagai contoh, responden yang terlibat dalam aktiviti kesihatan mental yang positif seperti bersukan (54.11%), menggunakan aromaterapi (19.32%), mengamalkan sikap bersyukur (14.11%), pengamal yoga (3.42%), menulis jurnal (1.51%), hanya memerlukan sekitar satu jam atau kurang untuk memaafkan,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Signature Market, Edwin Wang di Facebook.
Edwin menambah, dari sudut lain, kajian ini mendapati bahawa peratusan mereka yang tidak mengamalkan aktiviti kesihatan mental positif (17.32%) lebih cenderung untuk tidak memaafkan, kecuali setelah menerima ucapan maaf dari si pelaku.
“Dalam aspek menangani kemarahan, kajian menunjukkan bahawa lebih daripada separuh rakyat Malaysia akan mengingatkan diri mereka supaya sentiasa bersikap tenang ketika marah.
“Ini diikuti oleh mereka yang akan berdiam diri dan menyembunyikan kemarahan mereka (20.6%), menzahirkan kemarahan (14.4%) dan mengabaikan kemarahan mereka (10.6%).
“Secara amnya, majoriti rakyat Malaysia bersikap tenang dan mudah memaafkan. Walaupun ini kelihatan bagus, tetapi peratusan mereka yang tidak menangani perasaan marah dengan cara yang sihat juga mencecah sehingga 45.6 peratus.
“Mereka yang tergolong dalam kelompok ini cenderung untuk mendiamkan diri dan berusaha untuk memendam kemarahan ataupun akan menzahirkan kemarahan dengan teruk,” katanya. -Malaysiapost

