SEMPENA kedatangan hari ulang tahun kelahiran anak lelakinya, pelakon Anzalna Nasir memilih untuk meraikannya bersama anak-anak yatim, pada Isnin lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md Nasir, 33, dia dan suami Hanif Zaki mahu berkongsi kegembiraan di atas hari berbahagia anak mereka, Mohamad Eidrees bersama dengan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Qaseh, Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Berkongsi berkenaan sambutan tersebut, Anzalna berkata pada awalnya mereka sekeluarga berhajat untuk membuat majlis sambutan hari kelahiran Eidrees di sebuah hotel, bagaimanapun terpaksa ditunda disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Anzalna berkata, dia dan suami memilih menyambut acara tersebut secara maya bersama anak-anak yatim tersebut.
Katanya, biarpun secara maya namun kegembiraan tetap dirasai kerana dapat berkongsi rezeki dengan insan-insan bertuah itu.
Tahun ni menyambut birthday Eidrees bersama anak-anak Yatim dan Asnaf tapi kami hanya boleh join melalui online sahaja. Terima kasih anak-anak mendoakan untuk Eidrees. Hope to see you all soon. Sayang semua,” katanya di Instagram.
Pelakon itu juga menafikan niatnya berkongsi rakaman video ulang tahun kelahiran Eidrees itu sebagai menunjuk-nunjuk untuk mendapatkan pujian tapi hanya ingin mengajak para peminat dan pengikut media sosialnya agar tidak melupakan golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.
Anzalna telah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Mohamad Hanif Zaki pada 21 Februari 2016 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun. – Malaysiapost

