POLIS menahan lapan lelaki disyaki menyerang satu keluarga menggunakan senjata dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Jalan Sungai Jati, Klang seperti yang tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan antara 9 dan 10 malam hari yang sama selepas mangsa membuat laporan polis pada 7 malam.
“Tiga daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang mana seorang daripadanya mempunyai 13 rekod jenayah, seorang dengan dua rekod dadah dan seorang lagi ada satu rekod jenayah.
“Siasatan juga mendapati dua suspek yang ditahan di tempat kejadian mempunyai hubungan adik-beradik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian dipercayai berlaku lewat petang itu, sekumpulan lelaki dilaporkan menyerang mangsa dan keluarganya dengan menggunakan kayu serta topi keledar, membaling batu dan botol kaca ke dalam rumah.
“Polis merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, sebuah kereta jenis Honda warna hijau serta dua topi keledar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek kini direman selama dua hingga tiga hari,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mangsa, 37, yang tidak mengenali kesemua suspek itu mengalami cedera ringan.
“Mangsa luka pada kaki kiri, manakala adiknya cedera di muka. Cedera ringan sahaja,” katanya. – Malaysiapost

