Palestin: Jawatankuasa Khas selaras misi kemanusiaan NGO ditubuhkan

0
2

KERAJAAN menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan misi kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) untuk rakyat Palestin.

Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) serta Menteri Dalam Negeri (KDN).

Menurut kenyataan bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet secara maya dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Khas tersebut dikehendaki melaksanakan beberapa tanggungjawab iaitu membuat semakan latar belakang NGO yang ingin melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk Palestin sebelum mereka dibenarkan membuat permohonan.

“Kedua, mengkoordinasikan semua NGO ini di bawah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan yang sama.

“Ketiga, mempermudahkan permohonan mereka sekiranya mereka memenuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Dengan ketetapan ini, ia bermakna bahawa setiap NGO yang mahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin hendaklah membuat permohonan hanya melalui dua Kementerian yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kabinet bersetuju agar Kementerian Luar Negeri membantu dalam memudahkan perjalanan NGO-NGO tersebut ke Palestin, namun hanya apabila permohonan mereka diluluskan.

“Kementerian Luar Negeri akan menumpukan terhadap koordinasi dengan semua negara terlibat supaya NGO-NGO yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ini mematuhi setiap SOP serta peraturan yang ditetapkan negara-negara tuan rumah.

“Buat masa ini, Kementerian Luar Negeri menasihatkan NGO-NGO ini agar melakukan perjalanan ke Palestin hanya melalui dua negara, iaitu Mesir dan Jordan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here