Tak perlu buang masa buat ujian, beli semua vaksin digunakan negara maju – Dr M

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan segera membeli semua vaksin yang telah digunakan di negara maju yang telah terbukti berkesan mengawal serta mengurangkan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, program vaksinasi perlu dipercepatkan agar kes di Malaysia dapat dikawal segera dengan menggunakan semua vaksin yang digunakan negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Untuk itu, katanya, kerajaan tidak perlu membuang masa menguji atau mempersoal keberkesanan atau keselamatan vaksin terbabit, sedangkan vaksin berkenaan telah terbukti berkesan dan selamat.

“Saya dapati vaksin yang digunakan negara lain dapat hasil yang baik, tak payahlah kita nak buat ujian lagi untuk kita tentukan (keberkesana), nak tanya soal itu, soal ini.

“Kalau ia boleh digunakan di negara maju seperti Britain atau AS, kita guna sajalah… kita dapati di UK tak ada kes baru kerana mereka adakan kempen agresif suntik vaksin kepada seberapa banyak yang mungkin.

“Belum sampai 80 peratus (rakyat negara berkenaan divaksinasi) tapi sudah ada kesan (membendung Covid-19),” katanya menerusi rakaman video dimuatnaik di YouTube.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga boleh menggunakan vaksin Sputnik keluaran Rusia kerana ia juga berkesan di negara berkenaan.

“Vaksin Pfizer, AstraZeneca semua boleh pakai, Sputnik pun boleh dipakai. Ini jangan disoal kerana ia sudah digunakan.

“Kalau ada kesan tidak baik, waktu ini kita akan dapat tahu (contohnya) bahawa vaksin ini akan menyebabkan ramai mati. Tapi kita tak dengar cerita seperti itu.

“Jadi jangan soal tentang vaksin yang sudah diterima oleh negara lain boleh digunakan di negara kita tanpa ujian, soalan.

“Ini kerana amat jelas hanya dengan vaksin saja dapat kita kawal penularan wabak Covid-19 ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mempergiatkan usaha mendekati rakyat untuk vaksinasi termasuk menghantar pasukan ke kampung-kampung dan pulau-pulau.

“Kita perlu ada usaha gigih untuk suntik vaksin, jangan tunggu sehingga orang datang, kita pergi kepada mereka (rakyat).

“Takkanlah kerajaan tak boleh sewa bas atau kereta, tak perlu ramai orang… kita mempunyai ribuan doktor, satu doktor di satu tempat mencukupi untuk hantar bersama pasukan vaksinasi ke kampung-kampung di mana orang tua tak boleh keluar,” katanya.

Beliau memberi contoh, di Pulau Tuba, Langkawi ada seorang penduduk mendakwa umurnya 130 dan tidak pernah keluar pulau berkenaan sepanjang hidupnya dan pasukan vaksinasi perlu memberi vaksin kepada golongan tersebut.

“Dia nak pergi ke pekan Kuah tentulah sukar, jadi kita kena pergi ke pulau-pulau. Selain itu wujudkan pusat, bukanlah pusat yang besar, tapi orang datang untuk vaksinasi.

“Di Pulau Dayang Bunting, ada jambatan ke Pulau Tuba, mereka (pasukan vaksinasi) boleh pergi, jadi kalau ada orang tak boleh keluar, tak boleh jalan, kita pergi pada mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here