Pemuda PN saran Ahli Parlimen sumbang elaun 3 bulan

0
2

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menyeru semua Ahli Parlimen tidak kira daripada blok kerajaan mahupun pembangkang untuk menyumbang elaun selama tiga bulan seperti mana yang dilakukan jemaah Menteri dan Timbalan Menteri.

Ketuanya Khairil Nizam Khirudin, berkata sekarang adalah waktu yang amat sesuai untuk semua Yang Berhormat menunjukkan contoh teladan yang baik dan bersedia untuk berkorban demi rakyat dan negara.

“Syabas kepada jemaah menteri dan timbalan menteri yang bersetuju menyumbangkan 3 bulan gaji mereka mulai Jun 2021 ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara bagi membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Saya kira amalan kepimpinan melalui teladan ini adalah tindakan paling tepat bagi barisan kepimpinan negara yang komited berkerja untuk rakyat dan negaranya dalam situasi kritikal seperti hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemuda PN juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana peka terhadap cabaran yang dihadapi anak muda dengan mengambil kira pandangan dan buah fikiran kumpulan berkenaan.

“Antara cadangan tersebut adalah, pemberian moratorium kepada rakyat biarpun anak muda masih perlu “opt in” untuk mendapatkan bantuan ini, sekurangnya mereka boleh memilih antara 3 bulan moratorium ataupun potongan 50% daripada bayaran bulanan selama 6 bulan.

“Selain itu, pemberian wang tunai juga diberikan kepada anak muda golongan B40 dan M40 serta tidak ketinggalan juga buat anak muda yang terlibat dalam perniagaan yang mana Kerajaan berbesar hati untuk menyediakan suntikan kewangan sebanyak RM1,500 melalui Program Geran Khas Prihatin (GKP),” katanya.

Beliau berkata, kesemua itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan hari ini prihatin dan inklusif di dalam merencana kelangsungan anak muda di negara ini.

“Terima kasih Kerajaan di atas program bantuan Pemerkasa Plus yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di bawah Pemerkasa Plus mengumumkan perutusan khas bantuan sebanyak RM40 bilion untuk membantu rakyat yang terjejas.

Golongan B40 antara yang boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menyalurkan bantuan wang tunai antara RM100 hingga RM500 mengikut pendapatan isi rumah.

Tidak terkecuali, golongan pekerja sektor pelancongan dan pengangkutan yang paling terjejas teruk apabila diberikan sumbangan bantuan RM500.

Selain itu, satu juta usahawan mikro juga khabarnya boleh memohon bantuan Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,500 untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here