Najib desak kerajaan tegas, lindung kedaulatan negara

0
2
Seorang lelaki melalui jalur gemilang yang besar dipasang di Persiaran KLCC.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap insiden pencerobohan ruang udara negara kerana ia membabitkan isu kedaulatan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu menyatakan ketegasan menerusi perbincangan dengan negara terlibat supaya kejadian sama tidak berulang.

“Insiden-insiden umum seperti dua insiden ini dalam tempoh masa kurang 8 bulan tidak pernah berlaku pada masa dahulu.

“Harap ketua kerajaan sekarang akan bertegas semasa berbincang dengan negara-negara terbabit agar ianya tidak diulang sebab ianya bakal melemahkan kedaulatan negara,” katanya ringkas di Facebook.

Dalam pada itu, Najib menggesa negara lain termasuk kuasa besar supaya menghormati Malaysia.

Semalam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

Susulan itu, Kementerian Luar Negeri akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan Republik Rakyat China.

Sementara September tahun lalu, sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa menggunakan kod transponder untuk menyamar sebagai pesawat dari Malaysia secara elektronik sewaktu mengintip pangkalan tentera China.

Perkara itu dilaporkan oleh majalah sains dan teknologi AS, Popular Mechanics yang memetik kata-kata pakar dari China.

Pesawat pengintip RC-135W Rivet Joint terbang dari pulau Hainan pada Selasa, terbang pada jarak 90 kilometer (km) dari daratan China. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here