Kedutaan Besar China dakwa 16 pesawat hanya jalani latihan penerbangan biasa

0
2

KEDUTAAN Besar China di Malaysia menafikan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang dikesan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memasuki yang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu Isnin lalu, menceroboh ruang udara Malaysia, sebaliknya hanya menjalani latihan penerbangan rutin.

Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua pesawat terbabit tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara semasa latihan itu dan mematuhi undang-undang antarabangsa yang relevan.

“Setahu saya, aktiviti yang dilaporkan adalah latihan penerbangan rutin PLAAF dan tidak menyasarkan mana-mana negara.

“Menurut undang-undang antarabangsa, pesawat PLAAF bebas melakukan lintas terbang di ruang udara yang relevan.

“Semasa latihan ini, pesawat tentera China mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkenaan dan tidak memasuki ruang udara wilayah negara lain,” menurut jurucakap itu petang semalam.

Dakwanya, tiada apa yang perlu dicurigakan kerana Malaysia dan China adalah jiran yang mesra dan China bersedia untuk meneruskan rundingan persahabatan dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau.

TUDM mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Fligt Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Ia dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Berikutan itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi kenyataan berkata Wisma Putra akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan China.

Katanya, kementerian juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberi penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here