Ceroboh ruang udara: Malaysia hantar nota bantahan kepada China

0
2

KEMENTERIAN Luar Negeri akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan Republik Rakyat China.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan demikian susulan pencerobohan 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) ke dalam ruang udara Malaysia di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Beliau berkata, kementerian juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat terbabit.

“Di samping itu, saya akan menyampaikan kegusaran serius Malaysia mengenai perkara ini kepada rakan sejawat saya di China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas – mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali kali bermaksud kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita.

“Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” katanya menerusi kenyataan lewat malam ini.

Terdahulu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Fligt Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Ia dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata semua pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui ruang udara Singapura sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR.

Ia seterusnya terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Susulan itu, pesawat Hawk 208 daripada No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan telah diletakkan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Katanya, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

“Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” kata Panglima TUDM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here