OPERASI perkhidmatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dibuat secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini.
Menurut kenyataan MBPJ, inisiatif itu merupakan salah satu kemudahan kepada pelanggan untuk berurusan dengan pihak MBPJ.
“Sebanyak 19 perkhidmatan yang terlibat dalam sistem ini termasuk Sistem Aduan Online, eCommerce, Karung Kitar, Sistem eLesen, eMBPJ dan Smart Selangor Parking.
“Ini bertujuan bagi memudahkan urusan orang ramai dan menjadi keutamaan MBPJ menyediakan urusan melalui talian, di samping mematuhi arahan kerajaan berkaitan PKP,” katanya.
MBPJ turut menggalakkan orang ramai melayari media sosial rasmi MBPJ di Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Instagram dan twitter ‘pjcitycouncil’ serta laman sesawang MBPJ www.mbpj.gov.my.
“Marilah sama-sama kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan agar wabak Covid-19 ini dapat ditangani bersama khususnya di Selangor dan Malaysia amnya.
“Semoga kita semua dilindungi dan dijauhkan daripada wabak Covid-19 ini,” katanya. -Malaysiapost

