KESAN ekonomi akan menjadi lebih parah jika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘separa masak’ dengan masih banyak syarikat dibenar beroperasi walaupun penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi dilaksanakan bermula hari ini.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata berdasarkan laporan media sebanyak 95,142 syarikat dengan anggaran 1.2 juta pekerja sudah mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk terus beroperasi dalam tempoh penutupan penuh.
Menurutnya, menteri bertanggungjawab kepada MITI iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memberi penjelasan tuntas mengenai beberapa persoalan berhubung keadaan berkenaan.
Beliau berkata, antara persoalan yang perlu dijawab apakah asas dan justifikasi hingga sebanyak itu syarikat dibenarkan beroperasi ketika penutupan penuh dan adakah benar kesemuanya termasuk dalam kategori sektor perkhidmatan berkeperluan.
“Ada yang berkongsi maklumat dengan Pemuda Umno, syarikat dan kilang tempat mereka bekerja yang terbabit dalam perusahaan mainan kanak-kanak, perabot yang tiada kaitan sektor berkeperluan juga mendapat kebenaran beroperasi.
“Sejak semalam juga tular surat kelulusan untuk kilang arak terkemuka iaitu Carlsberg mendapat kebenaran beroperasi? Apakah kaitan minuman keras dengan sektor berkeperluan hingga mendapat pengecualian dalam tempoh penutupan penuh ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi turut mempersoal tindakan mengubah arahan saat akhir kelmarin, untuk memberi kuasa mutlak kepada MITI sedangkan sebelum itu diumumkan untuk mengagihkan kepada semua kementerian bagi meneliti setiap permohonan.
“Apakah MITI sudah menjadi Agensi Pusat yang menyelaraskan semua aktiviti dan operasi ekonomi negara dan mempunyai cukup tenaga kerja serta sistem yang berintegrasi untuk menguruskan apa jua keputusan besar dan penting.
“Iaitu melibatkan perubahan prosedur operasi standard (SOP) dalam pengurusan ekonomi dan pandemik yang melanda negara ketika ini.
“Semua persoalan ini penting bagi memastikan keberkesanan penutupan penuh yang dilaksanakan bermula hari ini kerana rakyat sudah banyak berkorban, pasrah dan rela untuk menghadapi tindakan tegas kerajaan untuk tempoh 14 hari.
“Namun rakyat mengharapkan biarlah penutupan penuh yang betul-betul ketat supaya ‘once and for all’ kita dapat putuskan rantaian pandemik ini dan tidak perlu berterusan dikenakan perintah PKP separa masak – sekejap ketat, sekejap longgar, tanpa kesudahan,” katanya. – Malaysiapost

