PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau kecewa kerajaan Sabah tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat.
Beliau menegaskan, persefahaman antara negeri itu dan kerajaan Pusat dapat memberi kesan yang besar kepada Sabah.
“Pelbagai peruntukan disalurkan kepada Sabah. Bahkan, dalam bidang sosio ekonomi bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) saja sebanyak RM22 bilion diperuntukkan.
“Begitu juga dalam bidang industri, pendidikan, pelancongan dan pertanian. Ia membuktikan bahawa Sabah tidak diabaikan.
“Cuma saya kecewa sikit kerajaan negeri Sabah tak sebaris dan sehaluan dengan saya. Bayangkan jika Sabah sehaluan, ini bukan politik ia adalah realiti,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan, hari ini.
Muhyiddin menyatakan kekesalannya terhadap keadaan itu lebih lagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah kawannya sejak sekian lama.
“Dia kawan baik saya sudah begitu lama. Dia tadbir negeri, saya di pusat. Dulu sama-sama satu landasan, pernah jadi menteri.
Muhyiddin berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat membolehkan pelbagai usaha dilaksanakan demi kebaikan rakyat negeri itu.
Sehubungan itu, katanya rakyat perlu memahami situasi berkenaan dan mahu mesej yang ingin disampaikannya diterima oleh rakyat negeri ini. -Malaysiapost

