Potongan gaji, elaun penjawat awam secara sukarela lebih sesuai – PKR

0
2

KERAJAAN dicadang memotong gaji atau elaun penjawat awam secara sukarela mengikut kemampuan golongan tersebut dan bukan melalui kadar tetap yang seolah-olah memaksa mereka menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.

Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, berpendapat sumbangan secara sukarela mengikut kemampuan penjawat awam akan memberi lebih dari RM30 juta yang dianggarkan kerajaan.

Beliau yang juga Jurucakap Pekerjaan dan Hak Pekerja Parlimen PKR, berkata kerajaan tidak boleh membuat pemotongan pada satu kadar kerana tanggungan bagi penjawat awam adalah berbeza.

“Saya mengambil maklum berkenaan Solidariti Penjawat Awam: Sumbangan Melalui Pengurangan Elaun Penjawat Awam Dalam Mendepani Pandemik Covid-19 yang saya kiranya ianya sangat baik.

“Lebih-lebih lagi sumbangan melalui penolakan 100 peratus gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri akan tetapi tidak dimaklumkan dengan jelas adakah elaun lain turut dipotong.

“Namun gaji penjawat awam bagi Gred 56 hingga 29 tidak perlu ditetap kadar sebegitu seolah-olah mereka dipaksa menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.

“Saya mencadangkan agar sumbangan/pemotongan ini dibuat secara sukarela mengikut kemampuan penjawat awam tersebut. Saya kira melalui kaedah ini akan mendapat lebih dari RM 30 juta yang dianggarkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kos sara hidup yang tidak menentu ketika pandemik ini tidak menjamin gaji penjawat awam itu mencukupi.

“Saya juga mencadangkan agar pemain industri perkilangan yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh ‘lockdown’ ini turut dipelawa menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Suara Keadilan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here