AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengagihkan 3,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur ayam setiap hari sepanjang minggu ini di kawasan Parlimennya.
Bekas Menteri Besar Perak yang mesra dengan panggilan Peja berkata, sukarelawan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun akan menguruskan pengagihan kepada penduduk yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, turut diagihkan sepanjang tempoh itu ialah kira-kira tiga tan pelbagai jenis sayur-sayuran dan tiga tan ikan.
Beliau berkata, bantuan itu diberi kepada penduduk susah tanpa mengira keturunan termasuk perkampungan masyarakat Cina di Kampung Baru Kuala Kuang, Kampung RA Chemor, Kampung Baru Changkat Kinding, Kampung Baru Kanthan serta masyarakat India di Batu 5, Tambun.
“Kita tahu pasti ada golongan yang sedang susah, kais pagi makan pagi sepanjang tempoh PKPD ini,” katanya dipetik Kosmo Online hari ini.
Parlimen Tambun berada dalam mukim Hulu Kinta yang diperintahkan menjalani PKPD oleh MKN bermula 22 Mei hingga 4 Jun ini. – Malaysiapost

