Kaunter JPN dibuka untuk kes kecemasan

0
2
Jabatan Pendaftaran Negara

SEMUA urusniaga di kaunter pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditangguh sepanjang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ bermula hari ini hingga 14 Jun.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, selaras pengumuman terbaharu kerajaan berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua urusniaga ditangguhkan sepanjang tempoh itu kecuali bagi beberapa urusan kes-kes kecemasan.

Antaranya gantian MyKad rosak atau hilang yang disertakan laporan polis bagi kes kecemasan seperti urusan bank serta rawatan perubatan sahaja.

“Pengeluaran sijil kematian untuk prosedur penghantaran pulang jenazah warga asing yang meninggal dunia di Malaysia ke negara asal; sijil kelahiran (pendaftaran baru/cabutan) bagi tujuan rawatan perubatan.

“Sijil kelahiran (pendaftaran baru/cabutan) anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia bagi tujuan prosedur membawa pulang kanak-kanak tersebut ke negara asal.

“Manakala bagi upacara perkahwinan di pejabat JPN dan di rumah ibadat, urusan tersebut turut ditangguhkan sehingga tamat tempoh PKP kecuali kes-kes kecemasan yang memerlukan upacara dibuat segera.

“…seperti tarikh upacara yang akan tamat tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan atau kes-kes kecemasan lain yang perlu dirujuk kepada JPN,” menurut kenyataan yang dikongsi di Facebook JPN.

Menurut JPN lagi, bagi pelanggan yang telah mempunyai janji temu dalam tempoh PKP ini, mereka akan dihubungi untuk penjadualan semula tarikh berkenaan.

“Orang ramai turut dinasihat menggunakan perkhidmatan dalam talian JPN untuk memohon dokumen yang diperlukan.

“Sekiranya terdapat pertanyaan, permohonan mendesak atau kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPN atau emailkan pertanyaan ke [email protected] dan orang ramai juga boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here