Ingkar SOP, 37 jemaah surau dikompaun

0
2

SERAMAI 37 jemaah membabitkan dua surau di Mukim Chetok, Tok Uban di Pasir Mas, dikompaun kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua jemaah berusia 20 hingga 70 tahun dikesan ingkar SOP dalam pemeriksaan pada jam 9 malam itu.

Menurutnya, sebanyak 28 saman dikeluarkan di lokasi pertama diperiksa, manakala sembilan kompaun lagi diberikan kepada jemaah di surau kedua.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka serta jumlah jemaah melebihi kapasiti dibenarkan.

“Ia jelas melanggar SOP termasuk penjarakan fizikal yang bukan sahaja boleh membahayakan, malah memberi risiko kepada penularan Covid-19.

“Masyarakat sepatutnya mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama terutama untuk mengekang peningkatan jumlah mangsa Covid-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Terdahulu, tular video berdurasi 22 saat di media sosial menunjukkan sekumpulan individu ditahan dan sedang berselawat di atas kenderaan polis dipercayai ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Mohd Nasaruddin berkata, terdapat juga jemaah kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun tetapi atas budi bicara, pihaknya hanya memberi nasihat memandangkan mereka individu di bawah umur.

“Pihak kami akan terus membuat rondaan dan pemantauan untuk mengenal pasti mana-mana kumpulan atau individu yang melanggar SOP selain mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan kepada polis jika berlaku di kawasan mereka.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan membabitkan pelanggaran SOP terutama di sepanjang sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here