Polis semak kesihatan tahanan – Acryl Sani

0
2
Federal Internal Security and Public Order director Comm Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan semakan kesihatan terlebih dahulu terhadap setiap suspek yang ditahan bagi mengelak kejadian kematian tahanan dalam lokap.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata semua anggota yang membuat penahanan atau membawa balik individu, harus membuat semakan kesihatan terlebih dahulu daripada waris.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan penambahbaikan dilakukan PDRM bagi memastikan insiden kematian dalam tahanan polis tidak berulang.

“Berikutan insiden tahanan yang mati dalam lokap, bagi tujuan pentadbiran buat sementara waktu ini, kita mengarahkan semua pegawai penyiasat atau sesiapa saja anggota polis yang menahan atau membawa balik mana-mana suspek untuk ditahan.

“Mereka perlu membuat semakan kesihatan terlebih dahulu sama ada kepada waris terdekat orang yang disyaki tersebut,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Acryl Sani berkata, PDRM memandang serius isu kematian dalam tahanan dan sentiasa berusaha menambah baik cara mengurus dan mengendalikan tahanan.

“Kita pun tak mahu insiden seperti ini berlaku. Kalau kita lihat sejak akhir-akhir ini, cara kita mengendalikan tahanan pun semakin bertambah baik, (namun) banyak lagi perkara boleh diperbaiki.

“Tetapi kita sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk menambah baik,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani berkata PDRM bersedia jika Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyiasat insiden salah laku membabitkan anggota dan pegawai PDRM.

“Paling penting, kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here