SJR bergerak pantau rentas daerah

0
2

Nurul Huda Abhar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bergerak atau ‘mobile SJR’ untuk meningkatkan lagi kawalan pergerakan rentas daerah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata bilangan SJR akan ditingkatkan kepada 800 lokasi di seluruh negara berbanding hampir 600 ketika ini.

Menurutnya, pelaksanaan SJR tetap dan mobile SJR bertujuan memudahkan kawalan dan pemeriksaan pergerakan orang ramai.

Ini kerana katanya, ketika ini pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan dan sempadan daerah yang ada adalah sempadan pentadbiran awam.

“Contohnya di daerah Petaling, membabitkan enam daerah. Jadi untuk memastikan pergerakan orang ramai diminimakan.

“Selain menjalankan SJR di lokasi persempadanan, kita akan wujudkan SJR bergerak untuk mengawal pergerakan mereka yang bergerak lebih 10 kilometer radius,” katanya dalam sidang media hari ini.

Acryl Sani berkata, polis juga akan mengenal pasti laluan-laluan yang akan ditutup terus, menggunakan halangan tertentu.

Jelas beliau, dalam semua SJR polis akan memeriksa setiap kenderaan dengan lebih teliti termasuk dokumen yang dikemukakan dan temujanji yang dikatakan perlu dihadiri oleh orang ramai.

Susulan itu, Acryl Sani tidak menafikan akan berlaku kesesakan di SJR dan lokasi tertentu.

“Orang ramai jika tiada keperluan mendesak untuk bergerak seboleh-bolehnya tangguhkan pergerakan tersebut.

“Bagi peluang kepada mereka yang perlu bergerak atas sebab perkhidmatan perlu untuk laksanakan tugas mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here