PENDAFTARAN bagi mendapatkan vaksin di seluruh negara meningkat ketika ini disebabkan kebimbangan rakyat terhadap penularan dan peningkatan kes Covid-19 semakin mendadak.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendaftaran vaksin meningkat selepas trend jangkitan harian Covid-19 semakin tinggi.
Menurutnya, kesedaran rakyat untuk mendapatkan vaksin bagi perlindungan diri ketika ini menjadi perkara yang sangat mendesak.
“Justeru, kami akan berusaha meningkatkan dan mempercepat kadar pemberian vaksin di seluruh negara sekali gus mencapai sasaran 150,000 dos sehari selewat-lewatnya akhir Jun ini.
“Ketika ini, kadar kehadiran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masih kekal pada tahap 80 peratus dengan 20 peratus yang tidak hadir,” katanya hari ini.
Khairy berkata, bilangan yang mendaftar bagi mendapatkan vaksin sudah mencecah 50 peratus populasi bagi usia 18 tahun ke atas iaitu seramai 12,117,091 individu.
Jelasnya, secara keseluruhan, seramai 2,913,009 sudah menerima satu dos suntikan yang mana 1,052,145 daripadanya sudah lengkap dua dos suntikan.
“Sehingga 30 Mei lalu, pendaftaran bagi Fasa 2 PICK terus meningkat dan merekodkan 3,871,725 individu dimana seramai 2,114,839 atau 60.38 peratus adalah terdiri daripada warga emas.
“Selain itu, kadar vaksinasi negara sekali lagi telah mula mencecah 100,000 dos sehari pada 27 Mei lalu iaitu sebanyak 107,340 dos,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga akan menerima bekalan vaksin seterusnya yang dijadualkan tiba pada minggu ini iaitu Pfizer (444,600 dos) dan Sinovac (668,520 dos yang telah dibotolkan). – Malaysiapost

