Keluarga mangsa nahas LRT tuntut RM1.8 juta

0
1

KELUARGA seorang mangsa yang terlibat dalam nahas tren Transit Aliran Ringan (LRT) menghantar Notis Tuntutan Undang-Undang kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk menuntut RM1.8 juta atas kerosakan dialami mangsa.

Notis tuntutan dihantar keluarga Wong Chee Foong yang mengalami kecederaan parah dalam pertembungan dua tren laluan Kelana Jaya, 24 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan, keluarga mangsa telah merujuk kepada kenyataan media Prasarana yang menyatakan akan memberi pampasan RM1,000 untuk setiap mangsa dan menyediakan perbelanjaan perubatan selain kehilangan sumber pendapatan.

Bagaimanapun, keluarga mangsa menyatakan RM1,000 yang diumumkan Prasarana sebelum ini bukannya jumlah pampasan yang dapat membela mangsa kerana kerosakan dialaminya adalah besar.

Tambah kenyataan itu, adalah mengecewakan sehingga hari ini tiada respon dan pendekatan yang betul diambil Prasarana dalam menghubungi keluarga mangsa

“Berikutan itu, pagi ini keluarga mangsa menerusi peguam Jazzmine Khoo of Messrs Jazzmine Khoo & Associates menghantar Notis Indang-Indang Permohonan untuk menuntut RM1.8 juta kerana kerosakan yang dialami mangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tuntutan tersebut meliputi perbelanjaan perubatan, kerosakan fizikal, mental dan tekanan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, kerosakan khas dan am serta kecuaian.

Chee Foong, 52, merupakan salah seorang penumpang LRT yang mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Chee Foong bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang.

Beliau mempunyai empat anak berusia antara 3 hingga 15 tahun dan merupakan sumber tunggal pendapatan kepada keluarganya.

Menurut kenyataan itu, pada hari kejadian, mangsa yang pulang bekerja menaiki tren dari stesen KLCC sepatutnya keluar dari stesen Masjid Jamek sebelum mengambil tren lain ke Cheras

Katanya, Chee Foong mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan muka selain kecederaan tulang belakang dan kini menjalani beberapa pembedahan dan rawatan.

Chee Fong masih berada di ICU dan masih tidak sedarkan diri.

Kenyataan itu berkata, keluarga tersebut berharap Prasarana akan menjawab surat tersebut dan tampil memberi cadangan penyelesaian yang lebih mesra dan wajar kepada mereka kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here