‘Faridah’ Keluarga 69 meninggal dunia

0
2

SENIWATI hiburan tanah air Toh Puan Julie Faridah @ Joria Basir yang terkenal dengan watak ‘Faridah’ menerusi filem Keluarga 69 arahan Tan Sri P Ramlee pada 1967, meninggal dunia semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata Allahyarham Joria menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pantai di Ipoh pada jam 1.37 pagi akibat jangkitan virus.

Beliau meninggal dunia di sisi tiga anaknya, dua minggu selepas dimasukkan ke hospital.

“Beliau pernah muncul dalam filem Mekanik pada tahun 1983. Beliau dilahirkan pada 25 November 1944 di Bentong Pahang.

‘Beliau terpaksa melupakan hasrat untuk terus aktif di dalam dunia seni disebabkan mengikut arwah suami, Datuk Seri Azizul Hassan yang bekerja sebagai pegawai kanan Polis pada ketika itu yang bertugas dan berpindah-pindah.

“Jenazah dimandikan dan dikafan di rumahnya di Jalan Watson, Ipoh sebelum dibawa ke Masjid Datuk Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur suami beliau sekitar jam 11 pagi semalam.

“Segala perjalanan urusan pengebumian berjalan lancar dan keluarga arwah sangat terharu kerana arwah ibu mereka diberi penghormatan untuk disemadikan di tanah perkuburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Hafiz, anak Joria ketika menghubunginya juga memaklumkan, Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.

“Allahyarham juga berbesan dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kerana anak lelaki beliau Mohammad Yaakob berkahwin dengan anak bongsu Tuanku Raja Perlis, Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza.

“Seluruh kepimpinan tertinggi dan barisan Exco Seniman mengucapkan takziah buat ahli keluarga dan semoga tabah hadapi ujian ini. Al fatihah,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here