Ziarah raya, solat jemaah di surau punca kes mendadak di Kelantan

0
1
covid pkp

AKTIVITI ziarah raya dan solat jemaah di surau dikenal pasti antara punca utama kes Covid-19 meningkat secara mendadak di Kelantan sehingga melebihi 900 kes sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata anak kelantan merentas negeri pulang ke kampung halaman turut menyumbang peningkatan kes.

Beliau menjelaskan, kenaikan kes di Kelantan adalah di luar jangkaan kerana terlalu tinggi selain kewujudan kluster yang banyak.

“Pada masa sama, kematian di Kelantan disebabkan Covid-19 meningkat secara mendadak iaitu 37 pada April dan 117 pada Mei.

“Kita jangka kes di Kelantan terus meningkat melebihi 1,000 sehari Jun ini memandangkan kes sudah berada dalam komuniti. Ini yang kita bimbangkan.

“Inilah kesan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Malah, yang terbaru kita kesan masih ada penduduk melakukan solat jemaah di surau di Pasir Mas sehingga 37 positif di Kampung Chetok,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, sebanyak 12 lokasi dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kelantan dan dijangka akan disambung sekiranya jumlah kes masih tinggi.

“Sebanyak 14 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah dibuka dan dijangka bertambah dengan peningkatan kes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here