AHLI Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tidak wujud perbezaan antara parti Bersatu, Umno mahupun PAS kerana ketiga-tiganya telah lama membuka keahlian kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Beliau berkata, pembentukan Muafakat Nasional (MN) oleh Umno dan PAS tidak pernah dipersoalkan mengenai kewujudan ahli bukan Melayu dan bukan Islam dalam kedua-dua parti berkenaan.
Wan Saiful juga menolak kenyataan beberapa pihak yang sengaja menekankan mengenai ‘pakatan Melayu Islam’ adalah sebuah pakatan yang eksklusif.
Katanya, tiada sesiapa yang tiba-tiba terbangun dari tidur bercakap mengenai ‘Pakatan Melayu Islam’ yang eksklusif, kerana jika itulah pegangannya, maka MN sendiri tidak akan dapat diwujudkan oleh kedua-dua parti yang memang telah ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam.
“Perlembagaan Bersatu sejak dari awal penubuhan lagi membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menyertai parti. Tidak ada perbezaan dengan Umno dan PAS. Jadi janganlah mencipta cerita sensasi yang sebenarnya tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Wan Saiful, Bersatu juga bersetuju untuk mengkaji mewujudkan struktur yang lebih baik agar ahli dari bukan Melayu dan bukan Islam turut mendapat manfaat bersama.
Beliau menambah, faktor utama yang perlu diberi perhatian lebih adalah usaha ke arah penyatuan politik dan membela nasib rakyat.
”Yang penting, kita teruskan pergerakan ke arah penyatuan agar kestabilan politik dalam negara dapat dikembalikan dan kita boleh memberi fokus kepada menjaga nasib rakyat. Cukup-cukuplah meraih populariti untuk peribadi,” katanya lagi.
Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengeluarkan kenyatan mendesak ahli Umno yang berada dalam kabinet wajar berundur berikutan tindakan Bersatu membuka keahlian kepada bukan Bumiputera.
Menurut beliau, Umno sudah tidak layak menjadi anggota pakatan Melayu dan Islam yang hanya didukung oleh Muafakat Nasional (MN). – Malaysiapost

