Kerajaan setuju sedia kemudahan vaksin pandu lalu

0
2

KERAJAAN bersetuju menyediakan kemudahan vaksinasi di lokasi pandu lalu tidak lama lagi bagi mencepatkan proses pemberian vaksin Covid-19.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu susulan keberkesanan projek perintis di Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan.

“Kerajaan akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi pandu lalu berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengunjungi pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini.

Beliau berkata, orang ramai selepas ini juga boleh memilih menerima vaksin di 1,000 klinik swasta atau melalui sistem pandu lalu di lokasi yang ditetapkan.

Jelas beliau, kerajaan juga memutuskan menubuhkan lebih banyak PPV dan memasukkan ribuan doktor swasta dalam program berkenaan bulan depan.

Katanya, sejumlah 2,500 doktor swasta telah mendaftar untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai dan 1,800 daripada mereka telah menjalani latihan untuk tujuan berkenaan.

“Kami menyasarkan 500 doktor perubatan am untuk mula memberikan vaksin mulai 15 Jun dan 1,000 klinik swasta boleh dijadikan pusat vaksin sebelum 30 Jun.

“Dengan ini, kita mensasarkan pengamal perubatan am swasta dan hospital swasta yang boleh menyediakan 40,000 suntikan sehari pada akhir bulan Jun,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata sebanyak lima PPV berskala mega juga akan ditubuhkan di Lembah Klang mulai 7 Jun di Pusat Konvensyen Mines, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam, Pusat Konvensyen Setia City, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Stadium Nasional Bukit Jalil. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here