SEPUCUK surat Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri yang dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta supaya pihak berkuasa mengeluarkan Tamil Tigers daripada senarai kumpulan pengganas tular di media sosial sejak semalam.
Surat bertarikh 12 Februari 2020 itu ditujukan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menggalas jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.
Antara isi kandungan surat berkenaan: “Saya berpendapat tidak ada sebab kita teruskan Tamil Tigers sebagai terrorist sedangkan Sri Lanka tidak anggap mereka terrorist”.
“Tindakan yang kita ambil menangkap mereka bukan kerana mereka ancam keselamatan negara kita. Tindakan kita pula begitu keras sehingga tidak boleh dijamin”.
Terdahulu, Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan bekas Perdana Menteri itu tidak teguh pendirian terhadap kumpulan penganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam atau dikenali sebagai LTTE.
“Adakah Bekas Perdana Menteri ini pejuang atau petualang?,” soalnya.
Kamarul berkata, ia bermula ketika pemimpin DAP mendesak peguam negara supaya menarik semula dakwaan terhadap 12 individu yang terlibat dengan LTTE.
Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan komen pihak berkenaan bagi mendapat penjelasan berhubung surat itu- Malaysiapost

