PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mencadangkan lima bantuan yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown bermula Selasa ini.
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata kerajaan perlu peka terhadap perihal keperluan asas bagi kelangsungan kehidupan rakyat terutama golongan B40.
Beliau berkata, lima cadangan berkenaan termasuk Skim Bantuan B40 dan M40, moratorium automatik tanpa cas selama dua bulan, subsidi upah pekerja dan suntikan tunai untuk peniaga IKS.
“Selain itu, kita meminta rancangan TV yang berunsur maksiat dikurangkan dan penuhi rancangan berunsur pendidikan dan keagamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pemuda PN menggesa semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19.
“Rakyat juga disarankan agar tidak boros berbelanja dan berjimat cermat agar kemampuan untuk bertahan dapat dipanjangkan,” katanya.
Khairil Nizam berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan total lockdown dan menyifatkan keputusan itu dibuat selepas mengambil pertimbangan pelbagai sudut termasuk peningkatan kes.
“Ayuh kita bersatu hati dengan mematuhi SOP dan menjaga kebersihan serta jangan berputus asa mendepani cabaran ini hingga berjaya,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/28/kerajaan-umum-total-lockdown-mulai-1-hingga-14-jun/

